SULTAN MUHAMMAD JIWA II : MENJADI KHADAM ULAMA SEBELUM MENJADI SULTAN KEDAH
Sempena kemangkatan Seri Paduka Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, saya ingin membawakan satu sejarah yang sangat menarik tentang seorang Sultan Kedah yang lampau.
Sultan Muhammad Jiwa II adalah Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-19. Baginda mula ditabalkan menjadi Sultan Kedah Darul Aman pada 26 Syaaban 1122 H (19 Oktober 1710 M). Sebelum diangkat menjadi Sultan, Tengku Muhammad Jiwa terlebih dahulu menjadi khadam ulama.
Sejak dari kecil, Tengku Muhammad Jiwa menunjukkan peribadi yang baik dan meminati ilmu agama. Setelah meningkat dewasa, baginda berfikir untuk meninggalkan Negeri Kedah demi mencari ilmu. Baginda pun mula berangkat meninggalkan Negeri Kedah dan belayar menuju ke Sumatera dan akhirnya tiba di Palembang lalu bermukim di situ.
Di Palembang, baginda telah berjumpa dengan seorang ulama Arab yang masyhur yang berasal dari Yaman. Beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahab Al Mahdani. Baginda sangat tertarik dengan Syeikh Abdul Jalil. Lalu baginda pun mula mendampingi ulama tersebut.
Setelah beberapa lama berdampingan dengan Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani dan berguru dengan beliau, Tengku Muhammad Jiwa menawarkan dirinya untuk menjadi khadam (pembantu) Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani. Baginda menyembunyikan identitinya sebagai putera dan pewaris Sultan Kedah. Baginda tidak lagi memikirkan takhta kerajaan. Hatinya diserahkan bulat-bulat untuk menimba ilmu akhirat.
Setelah enam bulan tinggal di Palembang, Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani membawa Tengku Muhammad Jiwa ke Pulau Jawa untuk mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat di Jawa. Setelah beberapa lama di Jawa, Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani belayar pula ke salah sebuah wilayah di India. Tengku Muhammad Jiwa yang menjadi pembantu kepada Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani sentiasa mengekori ke mana sahaja Tuan Syeikh itu pergi.
Di India, Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani tetap mendapat jemputan untuk mengajar ilmu-ilmu agama. Antara orang India yang menjadi anak murid setia kepada Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani ialah Hafiz Sab. Dengan sebab itu, Tengku Muhammad Jiwa dan Hafiz Sab bersahabat baik. Tiada seorang pun yang tahu bahawa Tengku Muhammad Jiwa adalah putera kepada seorang sultan dan pewaris kerajaan Kedah Darul Aman. Baik Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani mahu pun Hafiz Sab. Tengku Muhammad Jiwa tidak pernah menceritaan tentang kedudukannya kepada kedua-dua insan yang rapat dengan dirinya itu.
Di Kedah, ayahanda kepada Tengku Muhammad Jiwa iaitu Sultan Abdullah Mu’adzam Shah jatuh gering. Keadaan kesihatannya semakin teruk dari sehari ke sehari. Maka pada 13 Jamadil Akhir 1118 Hijrah bersamaan 21 September 1706, jenazah Almarhum Sultan Abdullah Mu’adzam Shah selamat disemadikan di Kota Langgar.
Tengku Muhammad Jiwa tidak berada di sisi ayahandanya di saat-saat akhir kehidupan ayahandanya. Malah Tengku Muhammad Jiwa tidak mengetahui bahawa ayahandanya sudah pun meninggal dunia. Disebabkan keinginan untuk mengembara bagi menuntut ilmu agama, baginda terpaksa menempuhi peristiwa-peristiwa yang menyedihkan seumpama ini.
Disebabkan Tengku Muhammad Jiwa tiada di Kedah dan berita tentang dirinya juga tidak diketahui di Kedah pada waktu itu, maka para pembesar Negeri Kedah menabalkan Tengku Ahmad Tajuddin iaitu adinda kepada Tengku Muhammad Jiwa sebagai Sultan Kedah ke 18.
Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah memerintah tidak lama iaitu sekitar 3 tahun sahaja.. Pada 15 Zul Hijjah 1121 bersamaan 14 Februari 1710, baginda pun mangkat. Kemangkatan baginda menyebabkan berlaku kekosongan pada takhta Negeri Kedah. Perkara ini sangat membimbangkan para pembesar negeri terutamanya Bendahara.
Maka Bendahara pun bermesyuarat dengan para pembesar Negeri Kedah untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa yang sudah enam tahun menghilangkan diri dan meninggalkan Negeri Kedah. Hasil mesyuarat tersebut memutuskan dua orang pembesar Kedah iaitu Dato’ Kema Jaya dan Dato’ Seri Indera untuk mencari dan menyiasat keberadaan Tengku Muhammad Jiwa. Dato’ Kema Jaya ditugaskan untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa di Sumatera dan Jawa. Manakala Dato’ Seri Indera pula ditugaskan untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa di Burma dan India.
Kebetulan, semasa berada di India, Tengku Muhammad Jiwa berasa sangat rindu kepada ayahanda, bonda dan tanah kelahirannya iaitu Negeri Kedah Darul Aman. Baginda tergerak hati untuk pulang semula ke Kedah.
Baginda pun mengajak Tuan Guru Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani dan Hafiz Sab untuk mengikutinya pulang ke Kedah. Kedua-dua mereka menerima ajakan Tengku Muhammad Jiwa. Maka mereka bertiga pun bersiap untuk belayar ke Negeri Kedah. Mereka bertiga pun pergi ke pelabuhan yang berhampiran lalu mereka menumpang sebuah kapal dagang Arab dari Muscat yang hendak belayar ke Nusantara.
Setelah bertolak dari India, kapal dagang Arab tersebut singgah di pelabuhan Mergui di Burma. Ditakdirkan Allah, Dato’ Seri Indera yang belayar dari sebuah pulau ke sebuah pulau menuju ke India bagi mencari Tengku Muhammad Jiwa, bertemu dengan kapal dagang Arab tersebut di pelabuhan Mergui. Beliau pun naik ke kapal Arab untuk bertanyakan menanyakan sesuatu. Beliau pun berjumpa dengan Tengku Muhammad Jiwa yang berada di dalam kapal itu bersama dengan Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani dan Hafiz Sab.
Dato’ Seri Indera tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana penampilannya amat berbeza sekali. Namun begitu Tengku Muhammad Jiwa mengenali Dato’ Seri Indera. Baginda pun menegur Dato’ Seri Indera.
Alangkah terkejutnya Dato’ Seri Indera apabila orang yang dicarinya datang menegur dirinya. Mereka berdua berasa sangat terharu lalu mereka pun saling berpelukan. Dato’ Seri Indera menangis dengan terisak-isak sambil memaklumkan tentang kematian Sultan Abdullah Mu’adzam Shah dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah kepada Tengku Muhammad Jiwa. Baginda pun menangis terisak-isak ketika mendengar berita itu.
Pada ketika itu barulah Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani dan Hafiz Sab mengetahui bahawa Tengku Muhammad Jiwa adalah seorang putera raja. Tengku Muhammad Jiwa, Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani dan Hafiz Sab pun turun dari kapal dagang Arab itu dan mengekori Dato’ Seri Indera ke kapalnya. Maka mereka berempat pun segera belayar pulang menuju ke Kedah.
Setelah ditabalkan menjadi Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa melantik tuan guru yang sangat dikasihinya itu iaitu Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani menjadi mufti Negeri Kedah sekaligus penasihat utama buat diri baginda. Manakala Hafiz Sab dilantik menjadi kadi dengan gelaran Dato’ Maharaja Qadi. Setelah ditabalkan menjadi Sultan, baginda tetap tidak boleh berpisah dengan Syeikh Abdul Jalil Al Mahdani.
Antara kejayaan yang penuh gemilang yang berjaya dicapai oleh Sultan Muhammad Jiwa semasa pemerintahannya ialah meluaskan kekuasaan Negeri Kedah. Siam merupakan satu musuh utama bagi Negeri Kedah pada ketika itu. Siam memasang impian untuk menakluki Negeri Kedah. Namun tindakan Sultan Muhammad Jiwa meluaskan wilayah Negeri Kedah seolah-olah memberi amaran kepada Siam tentang kekuatan Kedah yang tidak boleh dipandang remeh sama sekali.
Dalam usaha meluaskan wilayah Kedah, Sultan Muhammad Jiwa telah mengamanahkan tugas tersebut kepada salah seorang anak baginda iaitu Tengku Anjang. Beliau diberi pangkat Raja Laut dengan gelaran Tengku Seri Paduka Maharaja Diraja Senggara. Raja Laut ditugaskan untuk meluaskan wilayah Negeri Kedah selain dari mengawal hal ehwal di perairan Negeri Kedah.
Ternyata anakanda Sultan Muhammad Jiwa ini bukan sebarangan orang. Beliau adalah seorang Raja Laut yang sangat bijak dan berani. Sultan Muhammad Jiwa telah membina sebuah kapal penjajap untuk dijadikan kenderaan rasmi Raja Laut. Kapal penjajap itu dinamakan Papak Jantan dan pembuatannya sangat elok, cukup besar, panjang dan cantik serta tiada tandingannya dengan mana-mana kapal pada waktu itu.
Maka dengan kelengkapan yang baik serta kebijaksaan kepimpinan Raja Laut, Kedah berjaya meluaskan wilayahnya sehingga ke sempadan Mergui, Burma. Semua kota-kota yang terletak di antara sempadan Mergui dan Kedah seperti Tonka, Terang (Trang), Kupa, Rundong (Ranong) terletak di dalam kekuasaan Negeri Kedah. Di samping itu, tiada lagi kedengaran berita tentang rompakan berlaku di perairan Negeri Kedah. Maka bertambah masyhurlah Negeri Kedah Darul Aman.
Setelah memerintah Negeri Kedah sekitar 50 tahun, Sultan Muhammad Jiwa II mangkat pada bulan yang mulia iaitu pada 1 Ramadhan 1174 Hijrah bersamaan 5 April 1761 M.
Semoga Allah menempatkan Sultan Muhammad Jiwa dan Sultan Abdul Halim di kalangan orang-orang yang beriman.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara

Galeri Sejarah Kedah: Sultan Muhammad Jiwa II
Reviewed by Teacher Basariah
on
Sabtu, September 16, 2017
Rating:
Tiada ulasan: