Seo Services

Amanah itu Berat tetapi Pahalanya Amatlah Besar (I)

Assalamualaikum salam sejahtera buat para pembaca blog cikgu Ayu.

Pada pagi ini, cikgu ingin kongsikan mengenai amanah. Amanah itu berat. Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara amanah, firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Ayat ini, menjelaskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Walaupun langit, bumi dan gunung-ganang itu pada pandangan kasar bentuk fizikalnya memang besar berbanding dengan manusia. Tetapi manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun manusia itu serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, iaitu suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Sesungguhnya beruntunglah orang yang amanah itu. Kerana telah melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, dengan sebaik-baiknya terhadap amanah yang dipikulkan kepadanya. Amanah juga merupakan antara sifat bagi para Nabi dan Rasul. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran: 

"Sesungguhnya aku ini (Nabi Muhammad SAW) ialah Rasul yang amanah (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutlah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku." (Surah Asy-Syu'araa, ayat 107-108)

Saya akan sambung pula mengenai tingkat-tingkat atau kategori amanah itu pada esok hari. Sekian, terima kasih.




Amanah itu Berat tetapi Pahalanya Amatlah Besar (I) Amanah itu Berat tetapi Pahalanya Amatlah Besar (I) Reviewed by Teacher Basariah on Selasa, Disember 20, 2022 Rating: 5

Tiada ulasan:

ads 728x90 B
Imej tema oleh simonox. Dikuasakan oleh Blogger.