Rabu, Oktober 28, 2015

Kesian cikgu.. (T T)... eh sayalah tu! huhu

Assalamualaikum

ULASAN Di Parlimen semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid diminta menyatakan langkah kerajaan bagi mengurangkan bebanan kerja luar hakiki bagi lebih 500,000 guru supaya tugasan hakiki sebagai pendidik tidak terjejas.

Beliau menjawab, kerajaan melaksana projek rintis untuk mengambil pembantu guru Gred N17 di Melaka dan Kedah, hasil penubuhan sebuah jawatankuasa kaji beban guru pada 2010.

Walaupun jawatankuasa ini telah ditubuhkan lima tahun dulu, tetapi pengambilan pembantu ini menerusi projek rintis hanya dilaksanakan di dua buah negeri – Kedah dan Melaka setakat ini.

Apabila ditanya lebih lanjut, Menteri Datuk Seri Mahdzir menjawab, program ini hanya akan dilaksanakan ke seluruh negara jika mendapat kelulusan menteri kewangan.

Jika melihat trend pemotongan peruntukan dana bidang pendidikan dalam Belanjawan 2016 , kita wajib khuatir dengan komitmen perdana menteri merangkap menteri kewangan dalam mengutamakan pendidikan anak-anak kita.

Justeru, saya bimbang para guru akan terus terbeban gara-gara keutamaan menteri kewangan yang terpesong.

Warga pendidik kini terjejas akibat bebanan akibat pelaksanaan dasar dan program yang tidak tepat atau tidak cekap.

‎Sebelum ini Bank Dunia telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk 'Malaysia Economic Monitor: High Performing Education.'

Antara lain laporan itu telah menyimpulkan bahawa, di Malaysia, guru bukan sahaja diharapkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), malah ditugaskan untuk menjalankan aktiviti ko-kurikulum, aktiviti pembangunan profesional, dan program penglibatan ibu bapa.

Warga pendidik negara dibebankan dengan tugasan kerja setinggi 57 jam seminggu. Pun begitu, peruntukan masa untuk aktiviti P&P di Malaysia hanyalah di antara 2.4 dan 2.9 jam di dalam bilik darjah.

Jumlah masa ini adalah 40 peratus lebih rendah dari masa purata bagi negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Sebagai perbandingan, guru di New Zealand dan Indonesia mempunyai masa P&P setinggi 5 jam sehari, dan di Korea Selatan mempunyai masa P&P 4.1 jam setiap hari.

Selain itu, guru-guru juga terpaksa melaksanakan tugas-tugas perkeranian seperti mengisi kad laporan pelajar, memantau kedatangan pelajar dan juga mengisi data dalam sistem.

Kerja pentadbiran menggunakan sehingga 30 peratus daripada masa para guru. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula memaksa guru-guru bersengkang mata untuk memasukkan data pelajar.

Akibatnya, guru-guru di Malaysia bekerja di antara 40 hingga 80 jam seminggu sehinggalah sistem bertukar kepada versi "offline".

Sistem pendidikan negara hanya boleh dipertingkatkan jika guru dapat kembali mengajar. Hanya pendidikan yang mampu memacu Malaysia mencapai sasaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Frederico Gil Sander, Pakar Ekonomi Bank Dunia mendukung kenyataan ini dengan menyatakan bahawa masalah pendidikan di Malaysia adalah jauh lebih parah daripada masalah peningkatan hutang isi rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib wajib melunaskan segala permohonan kementerian pendidikan untuk mengembalikan kegemilangan pendidikan negara, bukannya menumpukan belanjawan hanya di bawah jabatannya sendiri yang meningkat saban tahun.

Kembalikan tugas hakiki warga pendidik. Para guru adalah para pengajar. Masa depan negara tergantung dengan kualiti guru yang akan mewarnai kualiti generasi anak-anak Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan