Seo Services

FUNGSI SINUS


Apakah beza di antara dua istilah ini?

Kerapkali pesakit akan bertanya soalan in kepada saya “Doktor, adakah saya menghidapi ‘sinus’?”. Ada pengamal perubatan yang ingin menjawab “Ya” kepada sesiapa sahaja, sama ada mereka sihat atau tidak.  Saya akan mejelaskan sebentar lagi.

Kebanyakan pesakit yang berbahasa Melayu juga kerap bertanya soalan yang seumpamanya- “Doktor, adakah saya menghidapi resdung?”. Yang paling membimbangkan ialah apabila saya melayari internet untuk merujuk istilah ‘resdung’, carian utama mengenai makna resdung bukan sahaja salah, tetapi agak menyeleweng, ditulis oleh individu yang bukan dari latar belakang perubatan. Motif mereka hanyalah ingin melariskan produk masing-masing, kebanyakannya tidak berdaftar. Untuk makluman, ini ialah tujuan utama MMG ditubuhkan- untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih kepada semua dari pakar kesihatan.

Sinus mengikut definisi ialah satu rongga atau ruang seperti sinus vena atau sinus hidung. Sinus hidung (paranasal sinus) pula diterjemahkan kepada rongga udara yang diselaputi mukosa di dalam tulang tengkorak dan  mempunyai hubungan dengan rongga hidung, termasuk sinus ethmoid, frontal, maksilari dan sphenoid. Dengan ini, adalah tidak tepat sekiranya seseorang itu berkata “Saya menghidapi sinus” kerana mereka hanya merujuk kepada struktur normal anatomi yang ada pada setiap orang! Seperti dinyatakan- kebanyakan doktor akan menjawab di dalam hati “Ya, semua orang mempunyai sinus” kerana kesemua orang yang normal akan mempunyai sinus di hidung mereka.

‘Resdung’ pula adalah istilah Melayu yang biasa digunakan, dijelaskan oleh Kamus Dewan sebagai penyakit hidung yang disebabkan oleh radang pada selaput sinus. Ini tidak salah dari segi terjemahan, tetapi dari istilah perubatan, ianya kurang spesifik. Kebanyakan penyakit hidung akan dirangkumi oleh istilah tersebut.

Jadi, ‘sinus’ atau resdung?

Dalam perawatan saya, sekiranya seseorang itu menyatakan beliau mempunnyai ‘sinus’– beliau merujuk kepada ‘allergic rhinitis’ atau sinusitis. Kebanyakan orang masih belum boleh membezakan dua penyakit yang biasa ini.

Ramai juga yang akan mengaku mereka menghidapi ‘resdung’– mereka pun juga merujuk kepada ‘allergic rhinitis’ atau sinusitis.

Kesimpulannya, tidak kira apa jenis istilah atau perkataan yang orang gunakan untuk merujuk kepada  gejala atau penyakit mereka, kita perlu mengupas sejarah penyakit dan menjalankan  ujian fizikal tertentu untuk mendapat diagnosis dan rawatan yang betul.

Saya tidak menjangka akan terjadinya sebarang perubahan istilah ‘sinus’ atau resdung, saya Cuma berharap orang ramai dengan gejala seumpama ini akan berjumpa dengan dockor bertauliah, dan bukannya merujuk kepada jaminan palsu di internet dan media sosial yang menggunakan kaedah yang tidak diiktiraf dan merbahaya untuk pemulihan penyakit hidung.

(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)


0135819100 Cikgu Basariah
FUNGSI SINUS FUNGSI SINUS Reviewed by Teacher Basariah on Rabu, Oktober 02, 2024 Rating: 5

Tiada ulasan:

ads 728x90 B
Imej tema oleh simonox. Dikuasakan oleh Blogger.