Seo Services

Siri teladan 5 : Kisah si sopak, si botak dan si buta

Assalamualaikum..

Apa khabar rakan2 blogger sekalian? Semoga sentiasa sihat dan ceria dalam rahmat Allah S.W.T..

Hari ni cikgu nak sambung siri cerita teladan..Masih daripada buku yang pernah cikgu baca zaman kecil dulu..Jom layan..

**********************************************************************************

Di sebuah kampung, tinggal 3 sahabat. Mereka ini berlainan keupayaan daripada orang biasa. Seorang buta, seorang lagi botak manakala yang terakhir menghidap penyakit sopak.

Mereka dipinggirkan oleh orang kampung disebabkan kelainan yang ada pada diri mereka itu.

Pada suatu hari, ketiga-tiga mereka didatangi oleh seorang lelaki berjubah putih. Lelaki tersebut bertemu dan berbicara dengan mereka seorang demi seorang.

Lelaki berjubah : Wahai pemuda botak, apakah yang kau inginkan daripada tuhanmu?

Lelaki botak : Rambut yang cantik di atas kepalaku.

Lelaki berjubah menyapu kepala si botak. Maka dengan izin Allah, rambut yang cantik tumbuh di atas kepala lelaki itu. Si botak merasa sangat gembira. Lelaki berjubah menyambung pertanyaannya lagi.

Lelaki berjubah : Apakah binatang yang kau ingin ternak?

Lelaki botak : Unta.

Maka lelaki berjubah itu menghadiahi si botak seekor unta betina yang sedang bunting. Lalu dia pun berlalu pergi sambil menitipkan pesanan:

Lelaki berjubah : Peliharalah unta ini dan ambillah manfaat daripadanya. Suatu hari nanti aku akan kembali dan mengambil semula daripada kamu.

Lelaki berjubah berlalu pergi dan bertemu pula dengan si sopak.

Lelaki berjubah : Wahai pemuda sopak, apakah yang kau inginkan daripada tuhanmu?

Lelaki sopak : Kulit yang cantik dan bersih.

Lelaki berjubah menyapu badan lelaki sopak. Maka dengan izin Allah, lelaki tersebut sembuh daripada penyakit sopak. Si sopak merasa sangat gembira. Lelaki berjubah menyambung pertanyaannya lagi.

Lelaki berjubah : Apakah binatang yang kau ingin ternak?

Lelaki buta : Lembu.

Maka lelaki berjubah itu menghadiahi si sopak seekor lembu betina yang sedang bunting. Lalu dia pun berlalu pergi sambil menitipkan pesanan:

Lelaki berjubah : Peliharalah lembu ini dan ambillah manfaat daripadanya. Suatu hari nanti aku akan kembali dan mengambil semula daripada kamu.

Lelaki berjubah berlalu pergi dan bertemu pula dengan si buta.

Lelaki berjubah : Wahai si buta, apakah yang kau inginkan daripada tuhanmu?

Lelaki buta : Semoga Allah dapat menyembuhkan penyakit buta yang kuhidapi sejak lahir ini.

Lelaki berjubah menyapu mata lelaki buta. Maka dengan izin Allah, lelaki tersebut dapat melihat kembali. Si buta merasa sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan itu. Lelaki berjubah menyambung pertanyaannya lagi.

Lelaki berjubah : Apakah binatang yang kau ingin ternak?

Lelaki buta : Kambing.

Maka lelaki berjubah itu menghadiahi si buta seekor kambing betina yang sedang bunting. Lalu dia pun berlalu pergi sambil menitipkan pesanan:

Lelaki berjubah : Peliharalah kambing ini dan ambillah manfaat daripadanya. Suatu hari nanti aku akan kembali dan mengambil semula daripada kamu.

50 tahun berlalu, ketiga-tiga lelaki tersebut telah berubah kehidupan daripada susah kepada mewah. Ternakan mereka membiak sehingga memenuhi bukit dan lembah.

Lelaki berjubah yang pernah mengunjungi ketiga-tiga rakan itu kembali menemui mereka seorang demi seorang sebagaimana dijanjikan. Lelaki itu menemui dahulu si botak.

Lelaki berjubah : Wahai lelaki botak, aku ingin menuntut semua harta yang telah kupinjamkan kepadamu dahulu.

Lelaki botak: Siapa lelaki botak? Aku bukan lelaki botak. Semua harta ini adalah daripada warisan keluargaku..Aku tidak meminjam daripada sesiapa.

Lelaki berjubah terus dihina dan diherdik. Dia terus berlalu dari situ tanpa berkata apa-apa.

Tanpa disangka-sangka, rambut yang tumbuh di atas kepala si botak gugur dan dia menjadi botak semula. Semua ternakannya diserang penyakit misteri lalu mati seekor demi seekor. Si botak kembali miskin.

Lelaki berjubah meneruskan perjalanan lalu bertemu pula dengan si sopak yang telah menjadi orang kaya dan hidup mewah.

Lelaki berjubah : Wahai lelaki sopak, aku ingin menuntut semua harta yang telah kupinjamkan kepadamu dahulu.

Lelaki botak: Siapa lelaki sopak? Aku bukan lelaki sopak. Semua harta ini adalah daripada usahaku sendiri..Aku tidak meminjam daripada sesiapa.

Lelaki berjubah terus dihina dan diherdik. Dia terus berlalu dari situ tanpa berkata apa-apa.

Tanpa disangka-sangka,kulit si sopak kembali bersopak. Semua ternakannya diserang penyakit misteri lalu mati seekor demi seekor. Si sopak kembali miskin.

Lelaki berjubah meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula si buta yang telah hidup mewah.

Lelaki berjubah : Wahai lelaki buta, aku ingin menuntut semua harta yang telah kupinjamkan kepadamu dahulu.

Lelaki botak: Ambillah segala harta ini. Allah lah yang memberiku kemewahan dan keizinan melihat bumi yang indah ini. Dia juga berhak mengambil semula segala yang dipinjamkan kepadaku.

Lelaki berjubah : Simpanlah semua harta ini. Aku kembali hanya untuk menguji sejauh mana kau mensyukuri nikmat tuhanmu. Alhamdulillah kau seorang yang bersyukur berbeza dengan dua lagi rakanmu. Semoga hidupmu akan terus diberkati Allah.

Lelaki berjubah itu pun berlalu pergi..

*************************Tamat kisah***************************

Ok, amacam cerita kat atas? Menarik tak? Abaikan sebarang kesilapan bahasa ye. Cikgu pun ingat-ingat lupa cerita tu, jadi ada sedikit penambahan dan pengurangan dalam plot cerita tu..hehe..Apa-apa pun mari kita bincangkan moral daripada cerita tadi..

Pengajaran:
1. Manusia mudah lupa dan kurang bersyukur dengan nikmat tuhan.
2. Manusia yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan tuhan akan hidup bahagia tak kira di dunia mahupun di akhirat.
3. Kita jangan sombong dengan segala kelebihan yang kita ada. Semua tu Allah yang punya dan Dia berhak mengambilnya kembali pada bila-bila masa yang disukai.
4. Jangan menghina dan memandang rendah kekurangan orang lain. Di sebalik kekurangan pasti ada kelebihan yang Allah kurniakan buat mereka. Mungkin iman mereka lebih kuat dan kedudukan mereka di sisi Allah lebih baik daripada kita..
5. Fikir sendiri ye dan jangan lupa komen kat bawah macam biasa.

Setakat ni sahaja untuk kali ni. Wassalam.
Siri teladan 5 : Kisah si sopak, si botak dan si buta Siri teladan 5 : Kisah si sopak, si botak dan si buta Reviewed by Teacher Basariah on Jumaat, November 25, 2011 Rating: 5

5 ulasan:

ads 728x90 B
Imej tema oleh simonox. Dikuasakan oleh Blogger.