Rabu, Disember 16, 2015

Pusaka jangan buat main tau...

PUSAKA OH PUSAKA

Hj Mansor meninggal dunia setelah dua tahun menderita menghidap barah hati. Dia meninggalkan lima orang anak lelaki iaitu Khalid, Yusof, Ishak, Yunus dan Musa. Khalid adalah anak sulong Hj Mansor hasil perkahwinannya dengan Sofiah. Semasa Khalid berusia lima tahun, ibunya meninggal dunia. Selepas kematian isterinya, Hj Mansor  menduda selama lima belas tahun.

Ketika Khalid berumur 20 tahun, Hj Mansor mengambil keputusan berkahwin lagi. Dia mengahwini Hasnah, seorang anak dara lanjut usia. Hasil perkahwinan dengan Hasnah, dia dikurniakan 4 orang anak lelaki iaitu Yusof, Ishak, Yunus dan Musa. Hasnah meninggal dunia 3 tahun sebelum kematian Hj Mansor. Semasa kematian Hj Mansor, umur Khalid 30 tahun, Yusof 10 tahun, Ishak 8 tahun, Yunus 6 tahun dan Musa 4 tahun. Semasa kematiannya, Hj Mansor meninggalkan wang tunai RM100,000.00 dan tanah sawah seluas 10 relung.

Memandangkan adik- adiknya masih kecil, Khalid bertanggungjawab menjaga mereka. Dia menggunakan wang seratus ribu ringgit peninggalan bapanya untuk perbelanjaan dirinya dan adik- adiknya. Perbelanjaan untuk adik- adiknya hanyalah untuk makan minum, pakaian dan perbelanjaan persekolahan. Hakikatnya banyak daripada wang tersebut digunakan untuk kepentingan peribadi Khalid. Sawah padi seluas 10 relung diusahakan oleh Khalid. Setiap relung dia meraih pendapatan bersih RM2000.00 bagi setiap musim padi. Ini bermakna dia meraih RM20,000.00 untuk 10 relung sawah bagi setiap musim padi. Kesemua hasil padi diambil olehnya tanpa diberikan kepada adik- adiknya kecuali sekadar keperluan makan minum dan kebajikan lazim.

Setelah 15 tahun, Khalid menguruskan pembahagian harta pusaka di pejabat tanah. Hasilnya dia dan adik- adiknya, masing- masing mendapat 2 relung sawah padi setiap seorang. Pada ketika itu, umur Khalid 45 tahun, Yusof 25 tahun, Ishak 23 tahun, Yunus 21 tahun dan Musa 19 tahun. Dari tarikh itu, barulah Yusof, Ishak, Yunus dan Musa dapat mengusahakan sendiri tanah sawah milik mereka setelah sekian lama hasil mahsul tanah milik mereka dimonopoli abang mereka, Khalid.

IKTIBAR DAN PENGAJARAN

Melalui kisah ini, kita dapat menimba ilmu berikut,

1. Sepatutnya setiap orang anak lelaki Hj Mansor layak mendapat RM20,000.00 daripada wang peninggalannya. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kerana Khalid bertindak sesuka hatinya. Dia hanya membelanjakan keperluan lazim adik- adiknya. Wang selebihnya dibelanjakan untuk kepentingan diri sendiri. Ini bermakna Khalid telah menggunakan sebahagian pusaka setiap adiknya untuk kegunaannya sendiri. Tindakannya itu adalah haram dan berdosa kerana memakan harta anak yatim.

2. Hasil mahsul sawah padi milik adik- adik Khalid yang dimonopolinya juga haram kerana memakan harta dengan cara yang batil.

3. Sebagai jalan penyelesaian, Khalid boleh menebus dosanya dengan mengembalikan kepada setiap adiknya sebanyak RM20,000.00 atau mungkin kurang daripada jumlah itu setelah ditolak perbelanjaan sebenar semasa membesarkan mereka.

4. Demikian juga hasil mahsul sawah padi sepanjang diusahakan oleh Khalid wajib diserah kembali kepada adik- adiknya mengikut banyak mana yang telah diambilnya.

5. Walau bagaimanapun, adik- adiknya mempunyai pilihan untuk menghalalkan segala hak mereka yang telah diambil oleh Khalid.

6. Kita hendaklah bertindak segera serta bijaksana dalam menguruskan harta pusaka supaya tidak mengambil hak orang lain sama ada hak tersebut atau manfaat di sebalik hak tersebut.

2 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian ini..emm btul tu harta pusaka tidak boleh dibuat sambil lewa..

    BalasPadam
  2. Salam ziarah cikgu... perkongsian yg menarik.

    BalasPadam