Ahad, Januari 08, 2017

Hidu GAM?

Assalamualaikum

Masalah Hidu Gam Di kalangan Pelajar & Remaja

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.

Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:

menjadi nyanyuk
hilang ingatan
psikotik atau gila
hilang upaya deria dan
kelumpuhan pada bahagian tertentu

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.

Apakah cara untuk kita mengatasinya?

1. Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.

2. Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.

3. Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.

4. Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

Wallahua'lam


Tiada ulasan:

Catat Ulasan